Remaja 15 Tahun Bergelar Janda, Suami Ceraikan Melalui Telefon


Di Marang, impian seorang remaja perempuan untuk mengecapi kebahagiaan alam perkahwinan selepas mengambil keputusan berkahwin dalam usia muda, tidak kesampaian apabila ikatan dibina dengan suaminya itu terlerai dipercayai akibat tidak sehaluan lagi.

Gadis berkenaan, 15 tahun, dinikahkan dengan seorang pemuda berusia 30-an, pada 12 September tahun lalu, sebelum pasangan itu didakwa bercerai dengan talak tiga pada 23 Julai lalu menerusi panggilan telefon.


Ibunya yang berusia 45 tahun berkata, walaupun pahit untuk menerima kenyataan itu, namun dia menerima keputusan yang telah dibuat pasangan terbabit dengan hati tenang dan menganggap bukan jodoh mereka untuk terus bersama.

Menurutnya, sebagai ibu, dia dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan anaknya itu setiap kali anak kelima daripada 10 beradik itu pulang ke rumah ketika masih mempunyai hubungan dengan bekas suaminya.

Dari riak wajahnya pun saya tahu dia ada masalah yang disembunyikan. Saya sering bertanya mengenai sebarang masalah yang dihadapinya, tetapi dia banyak mendiamkan diri sehinggalah mereka bercerai seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, belum sampai sebulan pun mereka bercerai, katanya.


Menurutnya, apa yang telah berlaku mungkin suratan takdir, malah dia reda kerana semua kejadian itu pasti mempunyai hikmah di sebaliknya dan dia juga mengakui tahu punca sebenar yang membawa keretakan rumah tangga anaknya itu.

Bagaimanapun, si ibu enggan mendedahkan kisah peribadi anaknya demi kebaikan si anak dan bekas keluarga menantunya yang juga berasal dari negeri ini.

Kejadian ini diharap memberi pengajaran kepadanya dan anak-anak saya yang lain. Dia juga sudah berhenti sekolah sebelum berkahwin. Selepas bercerai dia kini tinggal bersama saya serta adik-beradiknya.

Cuma saya berharap apa yang terjadi ini akan dilupakannya. Bagi saya, dalam usianya yang kini baru 15 tahun, masanya masih panjang dan dia tidak perlu terlalu risau atau tertekan walaupun bergelar janda dalam usia yang sangat muda,katanya.

Pada masa sama, saya juga berharap perkara ini sudah selesai dengan baik dan mereka berdua dapat menjalani kehidupan masing-masing dengan baik. Saya juga meminta masyarakat tidak pandang serong terhadap anak saya, katanya.

Sinar Harian

Kredit : Kakiborak